gula tambahan tidak baik untuk kesihatan
Gula? Apakah gula?
Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh.
Secara semulajadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa, dan susu dalam bentuk laktosa.
Selain terdapat dalam bentuk semulajadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan.
Pengambilan gula tambahan tidak diperlukan dalam diet harian kerana gula boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.
Pada label makanan, gula boleh disenaraikan sebagai sukrosa (sucrose), fruktosa (fructose), sorbitol, manitol (mannitol), sirap jagung (corn syrup), madu (honey), malt, ekstrak malt (malt extract), maltosa (maltose), ekstrak beras (rice extract), molas (molasses) , golden syrup dan inverted sugar.
Apakah Gula Tambahan?
Gula tambahan adalah monosakarida dan dwisakarida yang ditambah ke dalam makanan dan minuman oleh pengilang-pengilang makanan dan gula yang ditambah semasa memasak dan menyedia makanan.
Apakah Saranan WHO terhadap Pengambilan Gula Tambahan?
WHO (2003) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Oleh itu, bagi orang dewasa, purata pengambilan gula tambahan yang disarankan adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g)
Apa akan jadi jika kita mengambil gula tambahan berlebihan?
Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan.
Pengambilan tenaga harian yang berlebihan dalam jangkamasa yang panjang boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan.Obesiti dan berlebihan berat badan meningkatkan risiko mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.Gula juga boleh dikaitkan dengan pembentukan karies gigi (dental caries).
cara untuk mengatasi dari memakan gula berlebihan
Makan makanan yang rendah kandungan gula.Pilih atau sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula.
Gantikan manisan seperti kuih dan kek dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan.
Kurangkan kekerapan mengambil makanan yang bergula.
Elakkan mengambil makanan yang bergula di antara waktu makan utama dan sebelum tidur.
Semak kandungan gula pada senarai ramuan sesuatu produk makanan. Sekiranya gula tersenarai di bahagian awal senarai ramuan, ini menunjukkan gula merupakan komponen utama makanan tersebut.Minum minuman yang rendah kandungan gula.
Langkah Bijak Mengurangkan Gula
Minum air kosong bagi menggantikan minuman manis seperti air berkarbonat, air sirap dan kordial.
Hadkan gula, susu pekat manis, susu isian pekat manis dan krimer manis kepada 1 sudu teh sahaja untuk setiap cawan minuman.
Elak menambah gula dalam masakan. Sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula.
Elakkan makanan dan minuman bergula di antara hidangan utama dan sebelum waktu tidur.
Makan buah sebagai pencuci mulut bagi menggantikan makanan bergula seperti kuih, kek dan bubur.
Baca label dan elakkan produk yang menyenaraikan gula di bahagian awal senarai ramuan.
Pilih produk berlabel “rendah gula” dan “bebas gula”.
Rujukan (KKM: Myhealth)

Comments
Post a Comment